Kaitan Kebaikan Susu Ibu & Perkembangan Anak

Posted by Suraya 05/10/2015 0 Comment(s) Artikel Bahasa Melayu,

Breastfeeding Bonding

Umum mengetahui bahawa susu ibu itu untuk baik untuk anak namun sejauh mana kebaikannya memberikan ‘sebab’ yang lebih kuat untuk ibu untuk menyusukan bayinya dengan susu ibu sahaja, ikuti ulasan daripada Kaunselor Laktasi Bertauliah merangkap Pengarah Urusan Lunatots.com, Puan Siti Nur Suraya binti Mohamed Ali.

Antara kebaikan susu ibu untuk bayi mengikut sumber kajian ialah:
1. Bayi yang disusukan dengan susu ibu kurang mengalami risiko kematian akibat diarrhea (cirit birit) berbanding bayi yang disusukan dengan susu formula (bagi usia seawal 12 bulan pertamanya)
2. Susu ibu juga membantu mengurangkan risiko penyakit Haemophilus Influenza bagi bayi berusia dibawah 6 bulan.
3. Susu ibu memindahkan antibodi yang dibina oleh badan ibu kepada bayi yang membantu memberikannya perlindungan awal daripada penyakit.

Kebaikan menyusukan anak kepada ibu tidak kurang menariknya:
1. Mengurangkan risiko kanser rahim, kanser payudara dan kanser serviks.
2. Memberikan ketenangan dan mood yang lebih baik. Hormon yang dihasilkan semasa menyusukan anak akan menyebabkan ibu berasa gembira dan tenang. Ini dapat membantu mengurangkan masalah sindrom kemurungan selepas bersalin.
3. Mengurangkan berat badan. Penyusuan susu ibu amat membantu ibu membakar lemak dengan cara menukarkannya kepada susu ibu yang berkhasiat. Ianya diet yang mudah berbanding senaman diluar rumah.

Artikel ini akan menyentuh mengenai kaitan penyusuan susu ibu dan perkembangan bayi dari berusia satu hari. Perkembangan bayi anda mungkin berbeza kerana ianya berdasarkan beberapa ujian terhadap sekumpulan bayi. Lebih mudah sekiranya ibu bapa mengetahui perkembangan yang sepatutnya dicapai oleh anak pada usia tertentu untuk mengesan dengan lebih awal sebarang kelainan pada anak.

Bayi (1 Hari sehingga 3 Bulan)

Terdapat perubahan warna pada puting ibu semasa mengandung iaitu ianya menjadi semakin gelap. Ianya bagi memudahkan bayi anda membezakan puting dan payudara semasa menyusu. Bayi dibawah umur 6 bulan hanya boleh melihat beberapa warna seperti hitam (puting ibu) dalam jarak tertentu. Jarak pandangan yang boleh difokus pada usia seawal beberapa minggu adalah daripada payudara (semasa sedang menyusu) ke wajah ibunya.

Komunikasi itu bukannya sekadar ‘berbual’ melalui suara. Ianya melibatkan reaksi seperti senyuman atau bunyi semasa mengagah. Daripada lahir sehinggalah usianya 3 bulan, bayi banyak belajar mengenai ‘komunikasi melalui bunyi’. Kadangkala mereka seolah olah sedang berbual dengan kita walaupun sekadar bunyi ‘hemm….hemm…’

Masa menyusukan anak yang mengambil masa lebih kurang 20 minit boleh digunakan oleh ibu untuk ‘berkomunikasi’ sambil membelai anak.
Bagi bayi pramatang, sentuhan kulit-ke-kulit ibu dan bayi membantu mempercepatkan pertambahan berat badannya. Selain susu ibu yang khusus untuk bayi pramatang, ianya penuh dengan khasiat yang diperlukan oleh bayi tersebut kerana ianya berbeza dengan bayi yang dilahirkan cukup bulan. Kerana itu ibu yang melahirkan bayi pramatang amat digalakkan menyusui anaknya. Bantuan daripada kakitangan hospital amat diperlukan bagi menjayakan penyusuan susu ibu.

Sumber kajian daripada Baumgartner, C., “Psychomotor and Social Development of Breast Fed and Bottle Fed babies During their First year of Life”. Acta Paediatrica Hungarica, 1984 menyatakan terdapat perbezaan ketara bagi perkembangan fisiomotor dan perkembangan sosial bayi yang disusukan dengan susu ibu berbanding bayi yang menyusu daripada botol (susu formula) dalam tempoh 12 bulan pertamanya. Bayi yang menyusu susu ibu lebih cepat bercakap dan memahami arahan berbanding yang menggunakan botol susu.

Bayi (4 Bulan Sehingga 6 Bulan)

Mengikut kajian Lucas, A., “Breast Milk and Subsequent Intelligence Quotient in Children Born Preterm”. Lancet 1992;339:261-62, anak yang disusukan dengan susu ibu mempunyai IQ yang lebih tinggi pada usia 7.5 tahun sehingga 8 tahun berbanding yang tidak menyusu (walaupun berbeza tahap pendidikan dan sosial ibunya).

Seawal usia mereka 4 bulan, bayi sudah mula pandai berinteraksi dengan keadaan sekeliling.
Mereka mungkin menyusu sekejap sekejap dengan ibu (ketika mahu bermain) mahupun berhenti menyusu apabila terdapat gangguan (seperti terdengar suara bapa).

‘Respon’ daripada bayi lebih mudah dirangsang sekiranya ibu menyusukan anaknya bilamana sel sel didalam otak bayi memerlukan stimulasi untuk berhubung sentiasa dirangsang sekurang kurangnya 8 kali sehari (iaitu jumlah minimum ibu menyusukan anaknya dalam sehari)

Bayi (7 Bulan Sehingga 1 Tahun)
Perkembangan Kognitif bagi bayi yang disusukan dengan susu ibu menampakkan perbezaan yang lebih baik terutama dalam perkembangan fizikal seperti merangkak, melangkah dan seterusnya berjalan.
Sumber Morrow-Tlucak, M. “Breast Feeding and Cognitive Development During the First 2 years of Life. “Soc Sci Med, 1988.
Pertuturannya lebih teratur dimana sukukatanya sudahpun bercantum berbanding hanya satu sukukata seperti sebelum ini. Mereka mungkin sudah boleh menyebut “Da da” atau “Ma ma” atau mungkin juga “Me me” (untuk milk, iaitu ketika meminta susu daripada ibu!).
Mereka juga sudah boleh menerima arahan ringkas seperti ‘ambil cawan itu’.
Dalam masa yang singkat mereka akan belajar dengan cepat. Oleh itu, jadilah sebahagian daripada stimulasi yang membantu dengan cara menyusukan dengan susu ibu!

Leave a Comment